ARMADA BERSATU GESA MALAYSIA TEGAS: BEBASKAN SUKARELAWAN, BATAL JEMPUTAN TRUMP

Armada BERSATU Malaysia mengeluarkan gesaan keras agar kerajaan mendesak pembebasan segera semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), khususnya rakyat Malaysia yang kini ditahan secara tidak sah oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa. Ketua Armada, Hilman Idham menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal diplomasi tetapi menyentuh soal kedaulatan negara dan maruah rakyat Malaysia.
Menurut beliau, rakyat Malaysia tidak boleh dijadikan bahan permainan politik kuasa besar dan kerajaan wajib mempertahankan keselamatan mereka sebagai kepentingan nasional yang melangkaui sebarang perbezaan politik. Armada juga menuntut jaminan keselamatan serta layanan kemanusiaan terhadap semua tahanan, sambil mengingatkan bahawa Malaysia sebagai pengerusi ASEAN wajar memimpin suara serantau dalam menuntut keadilan. Dalam kenyataannya, Hilman turut mengecam tindakan kerajaan yang masih mengekalkan jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini. Beliau menegaskan tindakan itu hanya memberi legitimasi kepada seorang pemimpin yang bersekongkol dengan kezaliman rejim Zionis. Tambahnya, wang pembayar cukai tidak sepatutnya digunakan untuk menyambut pemimpin yang terlibat dalam penindasan rakyat Palestin.
Armada BERSATU menuntut agar jemputan itu dibatalkan segera sebagai tanda ketegasan pendirian Malaysia, serta mesej jelas bahawa negara ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa besar yang melindungi kezaliman.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama