KUALA LUMPUR – Taktik licik wanita warga asing yang menyamar sebagai pembantu rumah untuk berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) akhirnya terbongkar dalam Op Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah pub di Sri Hartamas, awal pagi Khamis.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi yang dijalankan sekitar jam 12.15 tengah malam itu berjaya menahan 39 warga asing bersama tiga lelaki tempatan dipercayai pengurus premis.
Daripada jumlah tangkapan, 22 merupakan wanita Thailand, sembilan wanita Vietnam dan lapan lelaki Bangladesh. Kesemua mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan GRO, manakala tiga lelaki tempatan berperanan sebagai pengurus.
Siasatan awal mendapati wanita warga asing terbabit menyalahgunakan pas pembantu rumah asing untuk bekerja di pub berkenaan. Mereka dipercayai menerima tip antara RM100 hingga RM500 berdasarkan kalungan khas yang ditemui.
“Sepatutnya mereka bekerja sebagai pembantu rumah, namun pas digunakan bagi menyembunyikan aktiviti sebenar iaitu sebagai pelayan pelanggan,” katanya.
Menurut Wan Mohammed Saupee, serbuan dilakukan selepas sebulan risikan dan menerima aduan awam mengenai penyalahgunaan pas pekerja asing. Ketika operasi, ada antara wanita terbabit cuba melarikan diri, menyorok dalam kotak, bawah tangga dan celah dinding, tetapi semua berjaya dikesan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua tahanan dibawa ke JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Tags
MALAYSIA HARI INI
