HAMZAH: TINDAKAN ISRAEL HINA UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA, DUNIA WAJIB BERTINDAK

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyifatkan tindakan rejim Zionis Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai jenayah serius serta pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva dan peraturan maritim.
Menurutnya, perbuatan zalim itu bukan sahaja menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza, malah mencerminkan sikap angkuh rejim pimpinan Benjamin Netanyahu yang memperlekeh usaha global membela rakyat Palestin. “Krisis Palestin adalah tragedi kemanusiaan terbesar dalam sejarah moden. Dunia tidak boleh terus berdiam diri. Sudah tiba masanya komuniti antarabangsa bertindak secara konkrit dan membawa pelaku jenayah perang ini ke muka pengadilan,” tegas beliau. Hamzah turut menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih tegas dan proaktif dengan mendesak badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), ASEAN serta Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk melakukan tindakan bersama.
Beliau menekankan, resolusi tanpa tindakan nyata tidak lagi relevan kerana Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah kemanusiaan berulang terhadap rakyat Palestin. Pada masa sama, Hamzah menggesa kerajaan memastikan keselamatan aktivis Malaysia serta sukarelawan antarabangsa dalam misi flotilla itu terjamin dan dibawa pulang dengan selamat. Beliau menegaskan, Perikatan Nasional (PN) akan terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin dan menyokong penuh semua usaha menghentikan kekejaman rejim Zionis.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama