PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rejim Zionis Israel segera membebaskan semua aktivis serta sukarelawan antarabangsa, termasuk 10 rakyat Malaysia, yang ditahan selepas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa.
Menurut Anwar, misi GSF merupakan usaha kemanusiaan tulen yang membawa sukarelawan tidak bersenjata bersama bekalan penting untuk rakyat Gaza yang sedang berdepan penderitaan akibat sekatan. Namun, Israel bertindak menghalang konvoi itu dengan cara yang dianggap tidak berperikemanusiaan serta mencabul undang-undang antarabangsa.
“Saya menggesa agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa dibebaskan segera. Malaysia tidak akan berdiam diri apabila keselamatan, hak dan maruah rakyatnya dicabuli,” tegas beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan akan mengambil segala langkah sah berlandaskan undang-undang antarabangsa bagi menuntut pertanggungjawaban Israel. Beliau memberi jaminan bahawa keselamatan aktivis kemanusiaan menjadi keutamaan negara.
Setakat ini, seramai 10 aktivis Malaysia disahkan ditahan, termasuk beberapa tokoh awam dan sukarelawan terkenal. Kapal Alma, Sirius, Huga, Grande Blue serta Hio yang membawa rakyat Malaysia antara dipintas tentera Israel dalam insiden berasingan.
Malaysia kekal konsisten menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kezaliman. Anwar menegaskan, sekatan terhadap misi kemanusiaan bukan sahaja merampas hak rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang semakin menolak tindakan Israel.
“Selagi aspirasi rakyat Palestin dinafikan, Malaysia tidak akan berundur daripada terus mendesak agar kezaliman ini dihentikan,” katanya.
ANWAR KECAM ISRAEL, MALAYSIA GUNA SALURAN DIPLOMATIK BEBASKAN AKTIVIS GSF
byMALAYSIA HARI INI
-
0
