IMIGRESEN BERI AMARAN PENIPUAN PEGAWAI PALSU TAWAR PELEPASAN PATI

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai imigresen yang kononnya mampu melepaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan, dengan bayaran tertentu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, penipuan sedemikian kerap berlaku selepas operasi penguatkuasaan. Majikan atau penjaga PATI akan dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa mampu membebaskan tahanan jika bayaran dibuat. “Itu adalah satu bentuk penipuan. Jabatan Imigresen tidak pernah melanggar undang-undang atau menerima wang untuk melepaskan tahanan. Jika dihubungi, jangan berurusan melalui telefon atau mesej, sebaliknya hadir ke pejabat imigresen bagi mendapatkan pengesahan,” katanya.
Beliau menjelaskan, dalam satu kes minggu lalu, seorang majikan hampir ditipu RM32,000 selepas operasi di Jalan Ipoh, namun berjaya diselamatkan apabila membuat semakan lanjut. Terdapat juga kes sebelum ini di mana bayaran antara RM5,000 hingga RM15,000 diminta dengan janji pelepasan. Wan Mohammed Saupee turut mengingatkan majikan yang berdegil menggajikan PATI boleh disiasat di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen. Dalam masa sama, beliau menggesa PATI agar menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang berakhir pada 30 April 2026.
📍 Masuk lawati http://malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama