BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar dalam setiap aktiviti sukan di sekolah susulan kejadian seorang pelajar meninggal dunia ketika menyertai perlawanan ragbi peringkat kebangsaan baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kementerian sudah lama menekankan kepentingan laporan kesihatan pelajar yang perlu dimaklumkan oleh ibu bapa kepada pihak sekolah sebelum anak mereka dibenarkan menyertai mana-mana acara sukan. Menurut beliau, aspek keselamatan kini akan diperkukuh secara menyeluruh termasuk jenis sukan yang dijalankan, penyediaan pasukan perubatan dan langkah keselamatan di lokasi pertandingan.
“Kita akan pastikan setiap acara sukan mempunyai pasukan perubatan bersiap siaga. Jurulatih dan pelajar juga perlu sentiasa diberi kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti, hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga pelajar yang terlibat dan memaklumkan bahawa kejohanan ragbi berkenaan ditunda hingga Januari depan sebagai tanda hormat serta memberi ruang kepada keluarga mangsa.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM terus memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan kes kematian seorang murid Tahun Empat di Senawang baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa kementerian komited memastikan keselamatan pelajar menjadi keutamaan utama di semua sekolah di seluruh negara.
Untuk info lanjut, layari 📍http://malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI
