KOTA BHARU – Lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan berhubung kes penculikan seorang lelaki di Pasir Puteh, disambung reman selama dua hari bermula esok bagi membantu siasatan lanjut.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid selepas mendengar permohonan pihak polis pada Ahad. Kesemua suspek tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu sekitar jam 8.30 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren serta menutup muka.
Menurut laporan, kes disiasat di bawah Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971. Polis turut merampas 15 telefon bimbit, tiga kenderaan, seutas rantai besi bersama lima mangga, pelitup muka, pengikat kabel dan pakaian digunakan semasa kejadian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan bahawa dalam kejadian 26 September lalu, mangsa dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, Pasir Puteh. Kumpulan suspek dikatakan meminta wang tebusan sebanyak RM150,000 daripada majikan mangsa sebelum operasi menyelamat berjaya dilakukan.
Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 46 tahun ditahan pada 2 Oktober dalam enam serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar serta rangkaian terlibat dalam kes ini.
Untuk info lanjut, layari 📍http://malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI