ISTANBUL – Sekumpulan aktivis antarabangsa daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mendakwa mereka menjadi mangsa kekejaman dan penghinaan ketika ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas dalam perjalanan ke Gaza, baru-baru ini.
Menurut Paolo Romano, ahli majlis wilayah Lombardy, Itali, tentera Israel memaksa semua aktivis berlutut sambil mentertawakan dan menghina mereka. “Kami dipukul dan diugut setiap kali bergerak. Mereka menggunakan kekerasan fizikal dan psikologi tanpa belas kasihan,” katanya kepada media antarabangsa.
Beliau turut mendakwa tentera Zionis memaksa aktivis menandatangani pengakuan palsu bahawa mereka memasuki Israel secara haram, sedangkan kapal GSF berada di perairan antarabangsa ketika diserang.
Sementara itu, aktivis Malaysia, Iylia Balqis, 28, menceritakan detik mencemaskan apabila tangannya diikat dan tidak diberi minum sepanjang ditahan. “Sebahagian daripada kami dipaksa meniarap dan tidak menerima rawatan perubatan walaupun ada yang cedera,” katanya.
Daripada lebih 400 aktivis yang ditahan, 137 orang dari 13 negara termasuk Malaysia telah dibebaskan dan dibawa pulang ke Istanbul. Antara peserta misi itu termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.
Aktivis Libya, Malik Qutait, pula menegaskan mereka tidak gentar dan akan terus berusaha menghantar bantuan ke Gaza pada misi akan datang. “Kami akan kumpulkan lebih banyak ubat-ubatan, bantuan dan kapal baharu,” katanya dengan tegas.
Untuk info lanjut, layari 📍http://malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI