KPM BATALKAN KEJOHANAN RAGBI SBP 2025 SUSULAN KEMATIAN MURID

IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang sedang berlangsung selepas insiden menyayat hati melibatkan kematian seorang murid pada Jumaat.
Menurut kenyataan rasmi KPM, murid berkenaan dilaporkan rebah secara mengejut ketika perlawanan sedang berlangsung. Pasukan perubatan yang bertugas segera memberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Namun, doktor mengesahkan pelajar itu telah meninggal dunia. “Sebagai tanda hormat dan solidariti terhadap keluarga Allahyarham, KPM memutuskan untuk membatalkan baki perlawanan kejohanan sehingga esok dan ia akan dijadualkan semula pada tarikh baharu,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa sama, KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan seluruh warga kementerian turut bersedih dengan pemergian pelajar berkenaan. “Seluruh warga KPM mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” kata kenyataan tersebut. Kejohanan ragbi itu merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pasukan ragbi dari sekolah-sekolah berasrama penuh seluruh negara. Insiden ini mencetuskan suasana pilu dalam kalangan peserta, jurulatih dan warga sekolah yang berada di kejohanan berkenaan.
Pihak kementerian menegaskan langkah penangguhan dan pembatalan kejohanan adalah wajar demi menghormati pemergian pelajar tersebut serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan peserta sentiasa menjadi keutamaan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama