SERDANG – Polis mengesahkan seramai 11 lelaki tempatan berusia antara 13 hingga 21 tahun yang ditahan berhubung insiden sekumpulan penunggang motosikal mengejar dan menendang sebuah kereta Perodua Myvi pada Ahad lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan lengkap telah dihantar ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Selangor dan pihak polis masih menunggu arahan selanjutnya.
“Kesemua suspek yang ditahan itu kini dibebaskan dengan jaminan polis. Siasatan terperinci telah dijalankan termasuk mengambil keterangan saksi dan rakaman video yang tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, sembilan suspek pertama ditahan sekitar Puchong dan Shah Alam, manakala dua lagi remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kemudian selepas disyaki terbabit dalam insiden tersebut. Daripada jumlah itu, enam suspek dikenal pasti masih bawah umur.
Kejadian yang tular di media sosial memaparkan kumpulan penunggang motosikal bertindak mengejar serta menendang kereta Myvi berhampiran Plaza Tol Puchong Batu 13 sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri di jalan raya serta mengingatkan semua pihak supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.
Tags
MALAYSIA HARI INI