VIDEO- AARON AZIZ PERJELAS ISU FLOTILLA, TEGASKAN KOMITMEN TERHADAP PERJUANGAN GAZA

KUALA LUMPUR – Pelakon popular tanah air, Aaron Aziz, tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul selepas kenyataannya dalam sebuah temu bual menjadi tular di media sosial. Beliau dikaitkan dengan dakwaan tidak menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Dalam kenyataan di Instagram, Aaron menegaskan dakwaan itu tidak benar dan kenyataannya telah disalah tafsir. Katanya, temu bual yang berlangsung dua minggu lalu bukan berhubung flotilla, sebaliknya mengenai artis yang tidak bersuara tentang isu pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza. “Saya tak pernah sebut pun pasal Sumud Flotilla. Soalan yang ditanya adalah mengenai artis yang tidak post atau tidak bersuara tentang geno-cide di Gaza. Jadi yang menyebarkan fitnah ini, jawab di akhirat nanti. Saya orang Islam, takkan saya tidak menyokong Gaza dan kemanusiaannya!” tulis Aaron dengan nada tegas.
Aaron turut menekankan bahawa dirinya konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menyeru masyarakat, khususnya di Malaysia, untuk terus bersuara membela nasib Gaza. Penjelasan itu sekali gus meredakan kekeliruan serta spekulasi yang timbul selepas video pendek temu bualnya disebarkan dengan naratif berbeza daripada maksud sebenar.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama