KUALA LUMPUR, 3 Okt – Himpunan solidariti pro Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Jumaat petang menyaksikan suasana tegang apabila keadaan bertukar kecoh.
Pada peringkat awal, himpunan Solidariti Free Sumud Flotilla yang disertai orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat berlangsung secara aman sejak kira-kira jam 3.30 petang. Peserta bergerak beramai-ramai menuju kawasan berdekatan kedutaan dengan kawalan rapi anggota polis bagi memastikan keselamatan terjamin.
Bagaimanapun, suasana mula berubah apabila beberapa individu menjerit mendesak agar pihak polis membuka kawalan yang menghalang mereka daripada mara lebih dekat ke pintu masuk kedutaan. Keadaan semakin memuncak apabila ada individu tidak dikenali membaling telur ke arah pagar kedutaan, mencetuskan insiden tolak-menolak antara peserta. Beberapa wanita dilaporkan terjatuh dalam kekecohan itu.
Menyedari keadaan yang semakin tidak terkawal, anggota polis yang ditempatkan di lokasi segera bertindak menenangkan keadaan dan mengawal semula suasana. Polis turut menasihati semua peserta supaya bertenang serta mematuhi arahan keselamatan demi mengelakkan sebarang kejadian yang lebih serius.
Difahamkan, pihak Kedutaan AS sebelum ini bersetuju menerima memorandum berhubung isu Palestin daripada wakil peserta. Himpunan kali ini adalah sebahagian daripada solidariti rakyat Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk tindakan Israel terhadap aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).
Polis menegaskan sebarang pelanggaran undang-undang ketika himpunan tidak akan dikompromi dan tindakan tegas boleh diambil jika berlaku provokasi.
Tags
MALAYSIA HARI INI
