MUHYIDDIN SERU AHLI BERSATU KEKAL TENANG, SERAH ISU KEPADA LEMBAGA DISIPLIN

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan agar semua ahli parti kekal bertenang dan berdisiplin dalam menghadapi cabaran semasa yang melanda parti itu.
Menurut beliau, sebarang tindakan yang dilakukan di luar saluran parti hanya akan melemahkan Bersatu serta memberi peluang kepada musuh politik untuk mengambil kesempatan. “Perkara paling penting ialah kita kekal bertenang, berdisiplin dan yakin bahawa segala isu akan diuruskan melalui saluran parti yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Muhyiddin turut mengingatkan bahawa Lembaga Disiplin parti telah diberikan mandat penuh untuk menyiasat serta membuat keputusan secara adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan Bersatu. Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberi ruang dan kepercayaan agar proses tersebut dapat berjalan dengan baik tanpa gangguan. “Kita berada dalam perjuangan yang jauh lebih besar – memperkukuhkan Bersatu, memperkukuhkan Perikatan Nasional, dan membela kepentingan rakyat. Jangan biarkan cabaran dalaman mengalih perhatian kita daripada matlamat ini,” katanya.
Muhyiddin dalam masa sama menyeru seluruh ahli Bersatu supaya terus berdiri teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan terhadap perjuangan parti. “Saat inilah kita diuji, dan saya yakin dengan kesabaran serta disiplin, kita akan keluar daripada cabaran ini lebih kuat, lebih utuh dan lebih bersatu,” ujarnya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama