DUA LELAKI, TERMASUK WARGA ASING, DITAHAN CURI KABEL ECRL DI TEMERLOH

TEMERLOH – Polis berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang warga Kemboja kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Mentakab, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek masing-masing berusia 28 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah bangsal kawasan perindustrian sekitar jam 7.05 malam. Katanya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis. “Hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah syabu seberat 5.16 gram, mesin pengisar dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel,” jelasnya. Ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine. Suspek lelaki tempatan mempunyai tiga rekod kesalahan dadah dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh atas kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Manakala lelaki warga Kemboja ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah.
Siasatan awal mendapati mereka mengaku terlibat dalam beberapa kes curi kabel bersama dua lagi individu dikenali sebagai ‘Musang’ dan ‘Sepet’ yang masih bebas. Polis turut merampas beberapa barangan termasuk seluar jeans, beg berwarna merah serta peralatan curi kabel. Kes ini kini dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang.
Sebelum ini, lapan lelaki berusia 29 hingga 45 tahun ditahan antara 10 hingga 14 September kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sama yang menjejaskan jadual penyiapan projek ECRL.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama