HULU SELANGOR, 1 Oktober 2025 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang penceramah motivasi berhampiran Hentian Rehat & Rawat (R&R) Behrang selepas kenderaan jenis Toyota Fortuner miliknya dikesan menggunakan nombor pendaftaran milik orang lain.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pemeriksaan pada Sabtu lalu mendapati kenderaan itu memaparkan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang. Semakan lanjut menunjukkan nombor berkenaan sah didaftarkan kepada pemilik lain, sekali gus menimbulkan syak wujud pemalsuan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran tersebut mempunyai 42 saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dengan jumlah keseluruhan RM12,600 sejak 2023. Suspek dipercayai menggunakan nombor palsu bagi mengelak daripada tindakan saman,” katanya dalam sidang media.
Menurut beliau, suspek yang juga ahli perniagaan sering menganjurkan program motivasi keusahawanan. Hasil semakan turut mendapati lelaki itu menggunakan alamat ‘dummy’ dalam rekod lesen memandu dan kad pengenalan.
Kenderaan terbabit disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) akta sama kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu. Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan tindakan undang-undang lebih berat.
JPJ menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya, terutama melibatkan pemalsuan nombor pendaftaran yang boleh menjejaskan integriti sistem keselamatan negara.
Tags
MALAYSIA HARI INI
