MIRI, 1 Okt – Polis berjaya menumpaskan cubaan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar ini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sekitar jam 1.30 petang di sebuah kedai di kawasan Jalan Bintang Jaya Utama.
Dalam operasi itu, polis menemui syabu seberat 5.64 gram bernilai RM620.40. Hasil soal siasat suspek membawa kepada serbuan kedua di tepi Jalan Lorong Sze Chuan 2 yang menemukan lagi 51.40 gram syabu bernilai RM5,654.00. Secara keseluruhan, polis merampas 57.06 gram syabu dengan nilai pasaran RM6,274.40, jumlah yang dianggarkan mampu menjejaskan sehingga 285 individu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” jelas Mohd Farhan dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan mandatori jika sabit kesalahan. Bagi Seksyen 39A(1), suspek boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun serta dikenakan sebatan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 30 September hingga 7 Oktober bagi membantu siasatan. Polis turut menegaskan pihaknya sedang memburu saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222 bagi memastikan kegiatan pengedaran ini dapat dibanteras sepenuhnya.
👉 Untuk info-info terkini, lawati 📍 http://malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI
