SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanyalah helah bagi menyelamatkan Israel daripada kekalahan ketenteraan.
Menurutnya, pelan berkenaan timbul selepas Israel gagal mencapai matlamat menawan Gaza dan menghapuskan Hamas. Antara cadangan dalam pelan damai itu termasuk membuka laluan bantuan kemanusiaan, gencatan senjata, pertukaran tebusan Hamas dengan banduan Palestin serta pembentukan kerajaan peralihan di bawah badan antarabangsa.
Abdul Hadi menjelaskan bahawa rancangan itu jelas memberikan kelebihan kepada Israel, termasuk pelucutan senjata Hamas dan jaminan keselamatan berterusan kepada rejim Zionis. “Tawaran itu ibarat jaminan keselamatan percuma kepada Israel, atau menyelamatkannya daripada kekalahan dengan cara Hamas menyerah kalah,” katanya menerusi catatan Minda Presiden di Facebook pada Sabtu.
Beliau turut menyifatkan pelan tersebut sebagai pengulangan corak lama kuasa besar dunia yang sering mencadangkan gencatan senjata setiap kali Israel gagal dalam peperangan, seperti berlaku pada 1948 dan Perang Yom Kippur 1973. Katanya, pelan Trump juga mengulangi pendekatan sama yang pernah digunakan dalam Perjanjian Madrid 1991 dan Oslo 1993.
“Cadangan Trump dan Israel hanyalah penipuan terbuka — seperti burung unta menyembunyikan kepala dalam tanah sedangkan badannya masih terdedah,” sinisnya.
👉 Lawati 📍 http://malaysiahariini.website
ABDUL HADI: PELAN DAMAI TRUMP HELAH UNTUK SELAMATKAN ISRAEL DARIPADA KEKALAHAN
byMALAYSIA HARI INI
-
0