TIGA DITAHAN JADIKAN RUMAH ‘PORT’ PROSES DAN EDAR DAUN KETUM

KUANTAN – Tindakan tiga lelaki menjadikan sebuah rumah di Kampung Padang 2 sebagai lokasi memproses dan mengedar daun ketum terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menerusi Op Taring Mitra pada Jumaat.
Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 pagi itu, kesemua suspek berusia antara 41 hingga 57 tahun ditahan selepas pasukan operasi menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan. Menurut kenyataan PGA, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 163.45 kilogram daun ketum mentah dan 796 bungkus air ketum yang sudah siap diproses, dengan anggaran 636.8 liter. Turut dirampas tiga telefon bimbit serta pelbagai peralatan digunakan bagi memproses dan menyimpan bahan tersebut.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,142,” kata kenyataan itu yang turut memaklumkan semua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tindakan pantas PGA itu sekali gus mengekang aktiviti pengedaran ketum yang semakin berleluasa di kawasan berkenaan. 👉 Lawati 📍 http://malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama