SPRM PANTAU DURIAN HARAM, LIMA PENEROKA DITAHAN

KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan lima individu termasuk seorang pekerja kilang kerana disyaki terlibat mengusahakan kebun durian haram di tanah kerajaan dan kawasan Hutan Simpan.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 40 hingga 60-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Raub antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang, Isnin. Mereka kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa dan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi membenarkan kesemua ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Oktober.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak tahun 2024 hingga 2025 dan menghasilkan keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit. Empat daripada suspek dikenal pasti sebagai pekebun durian yang mengusahakan tanah secara turun-temurun. Namun, mereka didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd, syarikat yang diberi kuasa kerajaan negeri sebagai pemegang pajakan tanah sah. Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan bagi membantu siasatan, susulan operasi bersepadu Op Sekat Durian Haram yang dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP). Kerajaan negeri sebelum ini mengesan sekurang-kurangnya 33 lokasi kebun durian haram di Tanah Kerajaan dan Hutan Simpan Kekal, yang dikenal pasti sepanjang operasi antara 2 hingga 19 September lalu.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama