PASANGAN WARGA EMAS MAUT KEMALANGAN, KELUARGA TERKEJUT PEMERGIAN SERENTAK

JITRA – Sepasang suami isteri, Megat Yahya Megat Ahmad, 65, dan Khoriyah Kassim, 60, maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah lori di bulatan berhampiran Hospital Jitra, pagi tadi.
Anak saudara mangsa, Megat Asrul Najmi Megat Hamid, 20, berkata dia sempat bertemu bapa saudaranya di Pasar Jitra sekitar 8.30 pagi. “Arwah hanya cuit bahu saya tanpa berkata apa-apa. Tidak lama kemudian saya dimaklumkan berlaku kemalangan yang meragut nyawa bapa dan ibu saudara saya,” katanya. Menurutnya, Megat Yahya membeli ikan di pasar sebelum pulang menemui isterinya yang menunggu di motosikal. Pasangan itu dipercayai dalam perjalanan ke Hospital Jitra untuk mengambil ubat sebelum tragedi berlaku.
Adik Khoriyah, Naemah Kassim, 50, pula berkata, kali terakhir dia bertemu kakaknya ialah dua hari lalu ketika menghantar anak mereka ke Stesen Bas Bandar Darulaman. “Arwah ada mengadu kurang sihat sejak beberapa hari lalu, namun tetap kelihatan ceria,” katanya. Sementara itu, adik kepada Allahyarham Megat Yahya, Megat Hamid, 64, memaklumkan abangnya tidak menunjukkan sebarang petanda, cuma kelihatan lebih banyak berdiam diri kebelakangan ini.
Jenazah pasangan berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banai, Wang Tepus selepas selesai urusan di Unit Forensik Hospital Jitra.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama