ALOR SETAR – Impian seorang pesara guru untuk menambah pendapatan bertukar mimpi ngeri apabila kerugian lebih RM160,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan palsu yang beroperasi melalui iklan di Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik, berkata mangsa berusia 60 tahun yang menetap di Mukim Gunong itu mula berurusan pada Julai lalu selepas tertarik dengan tawaran pelaburan syarikat tidak wujud, kononnya Principal Malaysia 204.
Mangsa kemudian menekan pautan WhatsApp yang disediakan dan melabur RM224 ke satu akaun bank atas nama individu bernama Zaitun Ramli. Dalam tempoh tiga jam, sindiket mendakwa mangsa memperoleh keuntungan RM23,000, namun perlu membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan wang tersebut.
Akibat terpedaya, antara 22 Julai hingga 3 September, mangsa membuat 49 transaksi ke 30 akaun bank berbeza berjumlah RM160,000, menggunakan simpanan peribadi termasuk dari Tabung Haji.
Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas dinasihati rakannya lalu membuat laporan polis semalam. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule, Facebook rasmi JSJK PDRM, atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebelum melibatkan diri dalam sebarang pelaburan atau transaksi mencurigakan.
Kejadian ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa tawaran pelaburan segera dengan keuntungan tinggi adalah taktik sindiket menipu mangsa tanpa belas kasihan.
Tags
MALAYSIA HARI INI
