PASANGAN SUAMI ISTERI DITUDUH SALAH GUNA WANG SYARIKAT RM56,000

Sepasang suami isteri, Nor Atiqah Mohamad Alwi, 36, dan Muhamad Fakhrullah Abd Rahim, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalah guna wang syarikat berjumlah RM56,000.
Mengikut pertuduhan, Nor Atiqah yang ketika itu merupakan pengarah A2 Wax Sdn Bhd bersama suaminya didakwa mengeluarkan RM49,000 dan RM7,000 daripada akaun syarikat untuk membayar sewa rumah mereka di Puchong, Selangor, antara Ogos 2021 hingga Januari 2022. Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman. Mereka dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang membawa hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran, serta tidak mengganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof. Pasangan itu diwakili peguam Abdul Rahman Ab Razak.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang bekas Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Muhammad Maududi Abd Rashid, 36, didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,100 pada 2023. Hakim menegaskan perbuatan tersebut boleh menjadi barah dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama