KANAK-KANAK KRITIKAL SELEPAS DIPUKUL DENGAN TUKUL, JANTUNG TERHENTI 14 MINIT

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Muhammad Ammar, kini berada dalam keadaan kritikal selepas cedera parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya dalam satu kejadian di Pasar Jelawat, minggu lalu.
Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk retak di beberapa bahagian tempurung kepala, otak bengkak serta luka dalam sehingga memerlukan lebih 50 jahitan. Keadaan bertambah cemas apabila jantungnya dilaporkan terhenti selama 14 minit pagi tadi sebelum kembali berdegup selepas rawatan kecemasan diberikan di hospital. Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, meluahkan rasa sebak dan memohon orang ramai agar mengadakan solat hajat serta mendoakan kesembuhan anak sulungnya itu. “Saya hilang kata-kata, fikiran saya bercelaru, saya hanya mampu berdoa,” katanya ringkas.
Sementara itu, ibu mangsa, Nur Ayuni Mohd Kamaruzaman, 29, berkata mereka kini melalui saat paling sukar sepanjang hidup. “Keadaan anak masih kritikal dan saya sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital,” katanya. Dalam pada itu, suspek yang berusia 46 tahun, dipercayai mengalami halusinasi sebelum bertindak menyerang mangsa menggunakan tukul. Beberapa jam kemudian, suspek ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. Kes tragis ini mengejutkan masyarakat setempat serta menimbulkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa. Orang ramai turut diseru agar memberi ruang kepada keluarga bagi menghadapi dugaan berat ini, selain sama-sama mendoakan Muhammad Ammar segera pulih.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama