BERSATU PERAK GESA TINDAKAN TERHADAP WAN SAIFUL DAN AHLI TERLIBAT

IPOH, 30 Sept 2025 – Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Lembaga Disiplin Parti mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti, termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurut beliau, kenyataan terbuka berkaitan isu membabitkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukan sahaja mengelirukan malah menjejaskan nama baik parti. “Kenyataan itu tidak mencerminkan disiplin serta adab berorganisasi yang menjadi tunjang kekuatan Bersatu sejak awal penubuhan. Saluran rasmi sudah disediakan untuk menyelesaikan perbezaan pendapat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal menegaskan tindakan tegas penting bagi mengelak perkara sama berulang, selain menyeru ahli parti di semua peringkat kekal menyokong kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Media semalam melaporkan, Wan Saiful mendakwa Mohamed Azmin mengugut beberapa ketua bahagian supaya menarik balik tandatangan akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden parti.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama