IPOH – Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menembak mati seorang rakan sendiri ketika berburu haiwan di kawasan Batu Caves, Selangor sebelum mayat mangsa ditinggalkan di Kampung Selamat, Semanggol, awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 3.55 pagi mengenai penemuan mayat seorang lelaki berusia 43 tahun. Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tembakan di bahagian belakang mangsa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam Ahad lalu ketika sekumpulan lelaki berburu. Mangsa dikatakan tersilap disangka sebagai haiwan buruan sebelum ditembak. Bimbang kejadian diketahui, suspek membawa mayat ke Semanggol menggunakan sebuah kenderaan yang diiringi dua kereta lain sebelum meninggalkannya di tepi jalan tidak berturap bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Polis menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat, manakala seorang lagi berusia 36 tahun ditahan di Batu Caves. Seorang lagi suspek masih diburu. Turut dirampas ialah sebuah Toyota Vellfire, Mazda, Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 peluru 12 Bore serta empat telefon bimbit.
Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi ASP Ambri Mat Nayan di talian 012-5306567 atau IPD Kerian di 05-7215222
Tags
MALAYSIA HARI INI
