KOMUNITI OKU RAYU KERAJAAN SERAP SUKARELAWAN PDK DAN NAIKKAN ELAUN DALAM BELANJAWAN 2026

MELAKA – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, komuniti orang kurang upaya (OKU) merayu kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebajikan mereka, khususnya melibatkan petugas sukarelawan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta kadar elaun sedia ada.
Sukarelawan PDK Malindo, Masjid Tanah, Mohd Faiz Husin, 37, yang juga OKU penglihatan, berkata beliau sudah 10 tahun berkhidmat sebagai sukarelawan dengan menerima elaun RM1,200 sebulan. Menurutnya, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan kerana beban kerja yang berat. Justeru, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan pelantikan tetap agar mereka menikmati gaji minimum seperti pekerja lain. Bagi pekerja kilang, Muhamad Ramdhan Zaini, 30, yang juga OKU masalah pembelajaran, beliau menzahirkan harapan agar Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan daripada RM450 kepada kadar lebih munasabah, sekurang-kurangnya RM500, untuk membantu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, Muhammad Fauzan Muharam, 33, pelatih kemahiran menjahit di PDK Malindo, menekankan kepentingan penyediaan peluang pekerjaan dan latihan TVET kepada OKU selepas tamat sekolah khas atau program PDK. Katanya, latihan kemahiran amat penting supaya golongan ini mampu berdikari dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara. Komuniti OKU menegaskan, sokongan kerajaan amat diharapkan dalam belanjawan kali ini, bukan sahaja melalui elaun dan peluang pekerjaan, malah juga dari segi penyediaan platform latihan kemahiran agar mereka dapat terus menyumbang kepada masyarakat dengan penuh keyakinan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama