Polis menahan sembilan lelaki berusia 17 hingga 21 tahun bagi membantu siasatan insiden membabitkan sekumpulan penunggang motosikal yang mengepung serta menyerang sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Serdang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semua tangkapan dilakukan di kawasan Puchong dan Shah Alam, selain tiga motosikal turut dirampas. Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 pagi apabila mangsa, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun, dikepung lebih 20 penunggang motosikal ketika melalui kawasan berkenaan. Rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan mangsa dikelilingi rapat oleh motosikal di kedua-dua sisi serta bahagian hadapan.
Seorang penunggang dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu sebelum menendang pintu kereta, menyebabkan mangsa terpaksa memperlahankan kenderaan kerana bimbang berlaku kejadian lebih serius. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis sejurus selepas insiden.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai dan berbahaya. Polis kini sedang mengesan baki suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri di jalan raya yang boleh membahayakan diri serta pengguna lain.
Tags
MALAYSIA HARI INI
