VIDEO KEJADIAN-KEJAR AMBULANS BAWA NENEK, PEMANDU BEZZA LANGGAR LAMPU MERAH

KULIM – Cubaan seorang lelaki mengejar ambulans yang membawa neneknya ke hospital berakhir tragedi apabila kereta dipandunya melanggar lampu isyarat merah dan menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kulim Hi Tech, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kereta Perodua Bezza dipandu lelaki berkenaan bertembung dengan Nissan Grand Livina yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun yang sedang melalui laluan sah. Akibat rempuhan kuat, Grand Livina itu terbalik sebelum melanggar sebuah Proton Saga, Toyota Camry serta motosikal yang dinaiki dua pelajar kolej berusia 19 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kemalangan itu turut menyebabkan kereta Perodua Bezza terbabas dan mengalami kerosakan teruk. “Seorang pelajar lelaki yang menaiki motosikal patah buku lali kaki kanan, manakala pemboncengnya luka di kaki dan tangan. Pemandu Grand Livina cedera di kepala dan tangan, manakala pemandu Perodua Bezza mengalami sakit dada,” katanya. Bagaimanapun, pemandu Proton Saga dan Toyota Camry dilaporkan tidak mengalami kecederaan. Menurut siasatan awal, pemandu Bezza memaklumkan dia mengekori ambulans swasta yang membawa neneknya ke sebuah hospital pakar di Butterworth, Pulau Pinang.
Polis kini meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya meskipun dalam keadaan cemas, bagi mengelakkan tragedi lebih buruk berlaku.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama