SANUSI PERSOAL PUAD: ‘DARI MANA SUMBER DANA PILIHAN RAYA UMNO?’


 

SANUSI PERSOAL PUAD: ‘DARI MANA SUMBER DANA PILIHAN RAYA UMNO?’

ALOR SETAR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengkritik kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan menegaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak perlu ‘berlagak suci’ apabila membangkitkan soal dana pilihan raya PAS.

Menurut Sanusi, realiti politik di Malaysia sememangnya melibatkan perbelanjaan besar, bukan sahaja ketika kempen pilihan raya umum, tetapi juga dalam pertandingan jawatan dalam parti. “Hang sendiri habih berapa juta masa pilihan raya dulu? Nak dipilih jadi calon pun kena berabih duit. Tu pun tak tentu menang,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Beliau turut menegaskan PAS tidak pernah menerima dana daripada BERSATU, sebaliknya bergantung kepada sumbangan rakyat menerusi kutipan kecil, termasuk tabung tin milo yang diedarkan ketika ceramah. Dakwaan itu bagaimanapun ditolak Puad yang menyifatkannya tidak munasabah. Menurut Puad, kos bertanding satu kerusi Parlimen boleh mencecah RM1 juta, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kutipan kecil mampu menampung kos sebenar.

Isu ini timbul selepas laporan media mendakwa PAS hanya bergantung pada sokongan kewangan rakyat berbanding dana politik daripada parti gabungan. Sanusi pula menyifatkan kenyataan Puad sekadar mahu menutup hakikat bahawa UMNO turut mengamalkan budaya perbelanjaan besar dalam politik.

Pertikaman lidah ini sekali lagi mencerminkan perdebatan berterusan antara pimpinan UMNO dan PAS mengenai sumber dana serta amalan kempen politik menjelang pilihan raya akan datang.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama