WEI CHONG-KAI WUN KECUNDANG, PERLAWANAN SESAMA NEGARA DI MASTERS CHINA TERBATAL
KUALA LUMPUR – Harapan untuk menyaksikan pertembungan sesama wakil negara di suku akhir Masters China 2025 berkecai apabila pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tewas mengejut di pusingan kedua, malam tadi.
Berlangsung di Shenzhen Arena, pasangan ranking kelapan dunia itu dikejutkan dengan aksi bertenaga gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana. Selepas hampir sejam perlawanan, Wei Chong-Kai Wun akur dengan kekalahan 10-21, 23-21, 14-21.
Pasangan Malaysia bermula hambar di set pertama apabila gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas lawan. Mereka kembali bangkit pada set kedua dengan semangat juang tinggi untuk menang tipis 23-21, sekali gus memaksa set penentuan.
Namun, momentum kebangkitan tidak bertahan lama. Walaupun berjaya menyamakan kedudukan 5-5, mereka gagal mengekang rentak agresif Leo-Bagas yang menguasai baki perlawanan sebelum menamatkan kemenangan 21-14.
Kekalahan ini juga memadam peluang besar untuk menyaksikan aksi ‘Malaysia vs Malaysia’ di suku akhir, yang sepatutnya menemukan mereka dengan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Lebih mengecewakan, ia adalah kekalahan pertama mereka kepada gandingan Indonesia tersebut selepas mencatat kemenangan dalam pertemuan terdahulu di Terbuka Arctic 2024. Rekod pertemuan kini terikat 1-1.
Dalam saingan beregu wanita, pasangan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting turut terkandas selepas tewas kepada pilihan keenam dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 13-21, 13-21. Kemenangan itu membolehkan Ha Na-So Hee bertemu Pearly Tan-M Thinaah di suku akhir.
📍Jom usha lebih berita sukan di: http://malaysiahariini.website
