LUAHAN DOKTOR TULAR: HADAPI UGUTAN KELUARGA PESAKIT KETIKA SELAMATKAN IBU DAN BAYI KEMBAR


 

LUAHAN DOKTOR TULAR: HADAPI UGUTAN KELUARGA PESAKIT KETIKA SELAMATKAN IBU DAN BAYI KEMBAR

PUTRAJAYA – “Kamu ingat kamu sahaja ada penumbuk? Saya pun ada.” Begitu luahan seorang pegawai perubatan, Dr. Nurul Filzah Ayuni Rohaizat, yang mendedahkan cabaran sebenar petugas kesihatan ketika berdepan dengan ugutan keluarga pesakit di sebuah hospital daerah di Sabah.

Menurut beliau, insiden itu berlaku ketika beliau dan hanya seorang lagi doktor bertugas pada cuti umum, mengendalikan kes seorang ibu yang melahirkan bayi kembar pramatang seberat satu kilogram. Keadaan menjadi kritikal apabila kedua-dua bayi perlu diintubasi, manakala hospital hanya mempunyai satu mesin ventilator bayi. Seorang bayi terpaksa disokong menggunakan kaedah manual sepanjang perjalanan dalam ambulans menuju ke Hospital Tawau.

“Bayangkan rakan saya melakukan manual bagging selama dua jam dalam ambulans sempit sehingga muntah kerana terlalu letih dan lapar,” tulisnya di Facebook.

Ketika pasukan bertungkus lumus menyelamatkan nyawa, keluarga pesakit mula menengking dan mengugut kakitangan di luar bilik bersalin, menambah tekanan kepada pasukan perubatan yang sudah keletihan.

“Kalau ikutkan hati, saya sudah tumbuk mereka, tetapi saya tarik nafas dalam-dalam dan cuba jelaskan perlahan,” katanya. Keadaan memaksa jururawat memanggil polis untuk mengawal situasi.

Dr. Nurul turut menyuarakan kekecewaan terhadap sikap segelintir pesakit yang enggan menjalani pemeriksaan antenatal serta kekurangan dokumen sah, yang sekali gus menyulitkan proses rawatan.

Kisah luahan ini tular sejak Khamis lalu, mengundang simpati dan sokongan masyarakat terhadap petugas barisan hadapan yang sering berkorban tanpa mengira penat lelah demi menyelamatkan nyawa.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama