OPS SAPU: 11 WARGA MYANMAR DITAHAN, IMIGRESEN TEGAS TIADA KOMPROMI
KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Kelantan menahan 11 warga Myanmar dalam operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Sapu yang dijalankan di Pasir Puteh bermula Selasa lalu hingga semalam. Operasi itu digerakkan hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan dan menyasarkan beberapa kawasan tumpuan warga asing di sekitar Selising .
Pengarah Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, semua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki negara tanpa dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63. Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil.
Menurut beliau, Imigresen Kelantan komited melaksanakan operasi secara berterusan bagi memastikan negeri itu tidak menjadi lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI). Beliau juga memberi amaran keras bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat melindungi PATI.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kehadiran atau aktiviti warga asing yang melanggar undang-undang melalui talian hotline 019-9840377 atau laman sesawang aduan rasmi di https://imi.spab.gov.my.
Ops Sapu yang digerakkan kali ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu pihak Imigresen dalam memperkukuh kawalan dan keselamatan persekitaran, selain mengurangkan risiko jenayah serta masalah sosial berkaitan warga asing yang tidak sah.
