LELAKI JATUH TONGKANG DI SUNGAI RAJANG DITEMUI LEMAS, OPERASI SAR DITAMATKAN

LELAKI JATUH TONGKANG DI SUNGAI RAJANG DITEMUI LEMAS, OPERASI SAR DITAMATKAN

KANOWIT – Misteri kehilangan seorang lelaki selepas terjatuh dari tongkang di Sungai Rajang pada petang Selasa berakhir pagi tadi apabila mangsa ditemui lemas.

Mangsa, Jamie Adong, 54, ditemui terapung pada jam 8.57 pagi oleh orang awam kira-kira lima kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB). Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak memaklumkan, mangsa yang bekerja di kapal tongkang itu tidak berbaju, hanya berseluar dalam dan mempunyai tatu di lengan kanan.

“Pasukan bomba bersama polis serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergerak ke lokasi dengan bot penyelamat selepas menerima maklumat penemuan mayat. Mangsa kemudian dibawa ke jeti Pekan Kanowit sebelum disahkan ahli keluarga sebagai individu yang dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 10.30 pagi dengan penglibatan lima anggota BBP Kanowit, tujuh anggota polis, empat anggota Pasukan Polis Marin serta lima anggota APM menggunakan beberapa bot.

Menurut maklumat awal, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang membuang air besar di hujung tongkang yang ditunda sebuah bot tunda sebelum tergelincir dan jatuh ke sungai, kira-kira dua kilometer dari Pekan Kanowit.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama