WARGA ASING CUBA SOGOK PGA RM7,000 DITAHAN DALAM OPS BERSEPADU PULAU INDAH


WARGA ASING CUBA SOGOK PGA RM7,000 DITAHAN DALAM OPS BERSEPADU PULAU INDAH

PELABUHAN KLANG – Cubaan seorang lelaki warga asing menawarkan sogokan wang tunai RM7,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berakhir sia-sia apabila dia ditahan dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Pulau Indah, Rabu lalu.

Insiden berlaku ketika lelaki itu memandu sebuah MPV yang turut membawa isterinya, dua individu lain serta seorang bayi perempuan berusia setahun. Pada awalnya, suspek cuba beredar dari lokasi serbuan, namun berjaya dipintas anggota PGA Batalion 19.

Pemeriksaan mendapati dua daripada penumpang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Bagi mengelakkan tindakan undang-undang, lelaki itu merayu kepada anggota bertugas sambil menawarkan sogokan. “Tolong encik lepaskan kami, saya sanggup bagi RM7,000,” katanya. Bagaimanapun, anggota PGA tidak tergugat dengan tawaran itu dan menahannya untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata operasi bersepadu itu dilakukan hasil risikan empat bulan dan aduan orang awam. Kawasan rumah kedai terbabit dipercayai menjadi tumpuan warga asing termasuk menjalankan perniagaan tanpa permit sah.

Selain JIM dan PGA, operasi turut disertai Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. Pihak berkuasa menegaskan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyogok atau melindungi pendatang asing tanpa izin.


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama