KHIDMAT MASYARAKAT 12 JAM BAGI PESALAH BUANG SAMPAH BERKUAT KUASA JANUARI 2026
PORT DICKSON – Bermula 1 Januari 2026, individu yang didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam akan dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama tempoh maksimum 12 jam. Perkara itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sempena Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia di Pantai Cahaya Negeri.
Beliau menjelaskan, pindaan undang-undang yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini bertujuan mendidik rakyat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan. Antara bentuk khidmat masyarakat yang bakal dijalankan ialah mengutip sampah kecil, membersihkan longkang serta mencuci tandas awam.
Pesalah juga diwajibkan memakai jaket khas berwarna hijau ketika melaksanakan kerja-kerja tersebut. Menurut Kor Ming, hukuman ini bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya memberi kesedaran kepada rakyat supaya tidak mengambil mudah soal kebersihan awam.
Pelaksanaan hukuman akan diputuskan oleh Mahkamah Majistret, sama ada ia dijalankan dalam satu hari penuh atau dibahagikan kepada beberapa sesi, misalnya tiga kali selama empat jam setiap satu.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelbagai notis dan pengumuman telah dibuat, justeru rakyat tidak boleh memberi alasan tidak mengetahui peraturan baharu ini. Malaysia, katanya, harus mencontohi negara lain seperti Jepun, Korea dan Singapura yang berjaya mendidik rakyatnya menjaga kebersihan dengan pendekatan serupa.
Selain itu, Malaysia turut mencatat pencapaian apabila diumumkan sebagai pemenang Global Zero Waste Foundation Special Citation Award yang akan disampaikan pada Oktober ini di Turkiye.
Kor Ming berharap langkah ini menjadi titik perubahan dalam budaya kebersihan rakyat Malaysia demi kelestarian alam sekitar dan imej negara.
👉 Untuk berita terkini dan info menarik, lawati
Tags
MALAYSIA HARI INI
