4 HILANG, 6 SELAMAT DALAM TRAGEDI PERAHU KARAM DI SUNGAI KRIAN
Kuching, 27 September 2025 – Empat pekerja termasuk tiga warga Indonesia dilaporkan hilang manakala enam lagi terselamat selepas perahu yang mereka naiki karam di Sungai Krian berhampiran pangkalan feri Kaba, Saratok dalam Bahagian Betong, petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, semua mangsa yang merupakan pekerja sebuah syarikat pembinaan sedang menyeberangi sungai selepas tamat waktu kerja. Namun, perahu karam ketika berada di tengah sungai menyebabkan kesemua 10 penumpang tercampak ke air.
Enam mangsa warga Indonesia berjaya berenang ke tebing. Mereka ialah Sandi Putra, 26, Amirul, 20, Tadin, 50, Diki Sanjaya, 22, Dwi Moko, 39, dan Krisna, 27.
Empat lagi gagal menyelamatkan diri dan masih hilang hingga kini. Mereka dikenal pasti sebagai seorang rakyat tempatan, Mohd Asfar Sulaiman, 25, serta tiga warga Indonesia iaitu Gunawan Pawadi, 35, Budianto Yapani, 50, dan Karyono, 41.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 petang. Susulan itu, empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 56 kilometer dari balai, tiba pada jam 7.10 malam.
Menurutnya, pasukan penyelamat mengambil maklumat awal daripada mangsa terselamat dan menasihati pihak syarikat membuat laporan polis. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan malam tadi atas faktor keselamatan dan disambung semula pagi ini.
📍 Untuk berita semasa & info lanjut, layari [MalaysiaHariIni].
Tags
MALAYSIA HARI INI
