FIFA KENAKAN HUKUMAN KE ATAS FAM DAN TUJUH PEMAIN KERANA DOKUMEN PALSU
KUALA LUMPUR – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi selepas didapati bersalah menggunakan dokumen yang dipalsukan dalam proses kelayakan Piala Asia 2027.
Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati FAM melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen ketika mengemukakan kelayakan tujuh pemain untuk beraksi menentang Vietnam pada aksi kelayakan ketiga Piala Asia di Hanoi, 10 Jun lalu.
FAM telah diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta) kepada FIFA. Sementara itu, tujuh pemain terbabit – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano – turut dikenakan denda individu sebanyak CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang.
Selain denda, kesemua tujuh pemain juga disahkan digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak berkaitan FIFA selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Hukuman ini dikenakan selepas FIFA menerima aduan mengenai status kelayakan beberapa pemain berkenaan, sebelum membuka siasatan rasmi. Setelah menilai bukti, jawatankuasa disiplin memutuskan FAM bertanggungjawab menggunakan dokumen yang telah diubah suai.
Mengulas perkembangan itu, Setiausaha Agung FAM, Dr. Johan Kamal Hamidon memaklumkan badan induk bola sepak negara akan mengemukakan rayuan. “Kami berpendirian bahawa FAM dan pemain telah bertindak dengan niat baik berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada kami,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Kes ini memberi tamparan hebat kepada skuad Harimau Malaya yang kini berdepan risiko kehilangan beberapa tonggak utama dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 dan juga Piala Dunia 2026 Zon Asia.
FIFA KENAKAN HUKUMAN KE ATAS FAM DAN TUJUH PEMAIN KERANA DOKUMEN PALSU
byMALAYSIA HARI INI
-
0
