PENYELUDUP ARAK TUMPAS SELEPAS DIEKORI POLIS MARIN

PENYELUDUP ARAK TUMPAS SELEPAS DIEKORI POLIS MARIN KUALA LANGAT – Cubaan licik menyeludup arak bernilai hampir RM400,000 gagal selepas tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) mengekori sebuah kenderaan mencurigakan membongkar kegiatan itu di sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika rondaan dijalankan oleh Unit Risik Marin (URM) Pelabuhan Klang bersama Unit Gempur di kawasan berkenaan. Katanya, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dikesan dalam keadaan mencurigakan lalu diekori sehingga ke sebuah premis sebelum pemeriksaan dijalankan. “Anggota PPM memperkenalkan diri sebelum pemeriksaan dilakukan. Hasilnya, pelbagai jenis minuman keras ditemui di dalam MPV berkenaan serta sebuah lori lima tan yang turut berada di lokasi. “Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM393,250,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, polis turut menyita lori serta MPV terbabit selain menahan tiga lelaki warga India bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63 bagi mengenal pasti jaringan sindiket serta kemungkinan terdapat pembabitan pihak lain dalam kegiatan penyeludupan itu. Rusley menegaskan, PPM sentiasa meningkatkan rondaan terutama di kawasan perairan serta daratan berhampiran pelabuhan dan pintu masuk negara bagi memastikan kegiatan penyeludupan tidak berleluasa. “Minuman keras ini dipercayai untuk pasaran tempatan tanpa membayar cukai yang ditetapkan. Usaha mengekang aktiviti seperti ini penting bagi mengelakkan kerugian besar kepada negara serta membendung kemasukan barangan tanpa kawalan,” jelasnya. Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat jika mengesyaki terdapat kegiatan penyeludupan di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah ekonomi.
Tiga suspek yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama