CADANGAN MANSUH MATRIKULASI DAPAT TENTANGAN, EXCO ARMADA BERSATU DESAK UEC TURUT DIMANSUHKAN


 CADANGAN MANSUH MATRIKULASI DAPAT TENTANGAN, EXCO ARMADA BERSATU DESAK UEC TURUT DIMANSUHKAN

KUALA LUMPUR – Polemik sistem pendidikan tinggi kembali hangat selepas seorang lepasan STPM yang memperoleh PNG 4.0 dan markah kokurikulum 99 peratus tidak mendapat penempatan di Universiti Malaya (UM) bagi jurusan Perakaunan.

Walaupun pelajar itu ditawarkan kursus Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM), isu berkenaan menarik perhatian Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze, yang mencadangkan agar Matrikulasi dimansuhkan dan STPM dijadikan piawaian tunggal kemasukan universiti.

Tang berpendapat silibus STPM lebih mencabar serta diiktiraf antarabangsa, namun cadangan itu dipersoalkan Exco Armada Bersatu, Meor Naqiuddin. Menurutnya, Tang sendiri merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang sebelum menyambung pengajian undang-undang di Universiti Malaya.

“Jarang sekali seorang bekas pelajar mencadangkan penutupan alma mater mereka,” katanya.

Meor turut mencabar cadangan UMANY dengan menegaskan sekiranya benar STPM dianggap terbaik, maka silibus Unified Examination Certificate (UEC) juga perlu dimansuhkan. Katanya, hanya melalui keseragaman laluan kemasukan, barulah meritokrasi pendidikan tinggi dapat dilaksanakan dengan lebih adil tanpa wujud sistem dwi-piawaian.

Beliau menambah isu pendidikan tidak sepatutnya dijadikan bahan politik, sebaliknya semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan peluang kepada pelajar cemerlang tanpa mengira latar belakang aliran.

📍Untuk info-info selanjut lawati http://malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama