PEMUDA PAS TAMPILKAN TUAN IBRAHIM SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI


 PEMUDA PAS TAMPILKAN TUAN IBRAHIM SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI

ALOR SETAR – Pemuda Pas secara rasmi menamakan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pilihan pertama untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri daripada Pas. Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

Menurut Afnan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut layak untuk dicalonkan berdasarkan pengalaman luasnya, namun Ahli Parlimen Marang itu telah menyatakan pendirian tidak mahu memegang jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Selain itu, Afnan turut menyebut dua Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Idris Ahmad, serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai tokoh berpotensi. Mereka dianggap mempunyai pengalaman mengurus negeri dan kerajaan, justeru sesuai diketengahkan pada peringkat nasional.

Beliau menegaskan, cadangan tersebut hanyalah pendirian Pemuda Pas, manakala keputusan muktamad akan ditentukan di peringkat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN). Katanya lagi, usul yang dibentangkan bukan bertujuan memberi tekanan kepada Bersatu yang lebih awal mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya menunjukkan kesediaan Pas memimpin PN.

“Semua parti ada calon masing-masing, dan dengan jumlah kerusi besar dimiliki Pas, adalah wajar kita tampilkan calon Perdana Menteri sendiri,” katanya.

📍Untuk berita penuh & terkini, klik: http://malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama