ANGGOTA POLIS DIPUKUL, PERGELUTAN CETUS PANIK DI HOSPITAL SUNGAI BULOH
KUALA LUMPUR – Suasana di Hospital Sungai Buloh awal pagi tadi kecoh apabila seorang anggota polis cedera selepas dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan di wad kecemasan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 pagi berhubung kejadian terbabit.
Menurutnya, anggota yang bertugas di pondok polis hospital bergegas lebih awal ke lokasi untuk mengawal keadaan sebelum pasukan peronda tiba. Namun, sebaik sahaja cuba meleraikan pergaduhan, beliau telah dipukul oleh seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.
“Berdasarkan siasatan awal, anggota berkenaan diserang ketika cuba menghalang pertelingkahan kumpulan lelaki dan wanita di lokasi. Serangan itu menyebabkan kecederaan pada muka mangsa,” katanya.
Beliau menambah, cubaan anggota polis lain untuk menahan suspek turut berdepan halangan apabila beberapa individu cuba mengganggu tugas pihak berkuasa sehingga tercetus sedikit pergelutan. Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Suspek kini direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com
.info lanjut dan Untuk berita terkini.