MAYAT WANITA REPUT DITEMUKAN DI DALAM RUMAH TAMAN KLEBANG JAYA
IPOH – Penduduk Taman Klebang Jaya, Chemor, gempar apabila mayat seorang wanita dalam keadaan reput ditemukan di sebuah rumah petang semalam. Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian disedari kira-kira jam 4.25 petang oleh seorang ejen syarikat penapis air dan penyaman udara yang berada di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pengadu ternampak mayat disyaki wanita melalui tingkap rumah berkenaan sebelum menghubungi pihak polis. “Pemeriksaan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang reput,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pasukan forensik telah diarahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan termasuk mengumpul bukti dan mengenal pasti identiti mangsa. Punca kematian masih belum diketahui dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya tampil membantu siasatan. Kes ini sedang disiasat mengikut prosedur jenayah bagi memastikan sama ada wujud unsur khianat atau sebaliknya.
