KPM JAMIN KESELAMATAN SEKOLAH ASRAMA, KOMITED TINGKATKAN LANGKAH PENCEGAHAN



KPM JAMIN KESELAMATAN SEKOLAH ASRAMA, KOMITED TINGKATKAN LANGKAH PENCEGAHAN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan semua sekolah berasrama di bawah seliaannya berada dalam keadaan selamat dan terjamin. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak mereka ke sekolah asrama kerana KPM sentiasa mempertingkatkan pelbagai aspek keselamatan secara menyeluruh.

Menurutnya, usaha ini meliputi penambahbaikan berterusan bagi menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat, terutamanya dari sudut disiplin, pemantauan dan pengurusan pelajar. Katanya lagi, pendekatan ini penting untuk memastikan suasana pembelajaran yang sihat dan bebas daripada insiden tidak diingini.

Jaminan tersebut diberi susulan kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini berasa fobia untuk menghantar anak mereka ke sekolah berasrama. Kenyataan itu dipercayai berkait rapat dengan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Papar, Sabah yang dikaitkan dengan isu buli.

Walaupun kes tersebut masih dalam siasatan, Bung Mokhtar mendakwa kes buli di sekolah semakin berleluasa, termasuk di sekolah agama dan vokasional. Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM tetap memandang serius semua laporan berhubung keselamatan pelajar dan sentiasa berusaha memperkukuh ekosistem sekolah agar dapat memberi impak positif terhadap pendidikan anak-anak.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di Sekolah Sinar Harapan.


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama