KOPERAL POLIS MAUT DIREMPUH DAN DIGILIS PENJENAYAH KETIKA CUBA MENAHAN SUSPEK PECAH RUMAH

 


KOPERAL POLIS MAUT DIREMPUH DAN DIGILIS PENJENAYAH KETIKA CUBA MENAHAN SUSPEK PECAH RUMAH

ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat koperal maut selepas dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu penjenayah dalam kejadian di Taman Golf, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku sekitar pukul 3.30 petang ketika mangsa bersama empat rakan setugas sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah rumah di taman perumahan tersebut yang dipercayai dipecah masuk.

Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah, anggota terbabit baru sahaja keluar dari kenderaan pasukan untuk memeriksa lokasi kejadian apabila SUV yang dinaiki empat suspek bertindak melarikan diri dengan merempuh mangsa.

“Suspek melanggar dan dipercayai menggilis anggota polis berkenaan yang menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam sidang media di lokasi.

Hasil tindakan pantas pasukan polis, salah seorang suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian, manakala tiga lagi yang melarikan diri dengan SUV berjaya diberkas di kawasan Kepala Batas tidak lama kemudian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan beberapa seksyen lain berkaitan jenayah pecah rumah serta cubaan melarikan diri daripada polis.


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama