JENAZAH KOPERAL HAFIZUL IZHAM DISEMADIKAN DENGAN ISTIADAT KEPAHLAWANAN PDRM
SETIU – Jenazah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang maut dirempuh kenderaan dinaiki empat penjenayah di Alor Setar, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil pada jam 10.20 pagi, Jumaat, mengikut istiadat kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, jenazah dibawa ke rumah keluarganya di sini pada 8.40 pagi sebelum disolatkan di Masjid Kampung Pak Kancil, dihadiri lebih 500 jemaah.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian dengan kehadiran lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, rakan setugas dan penduduk. Tiga anak Allahyarham kelihatan sugul mengiringi pemakaman bapa mereka.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin menyerahkan bendera Sang Saka Biru kepada bapa Allahyarham, Mazlan Umar, sebagai penghormatan tertinggi PDRM.
Allahyarham, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, maut di lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang Khamis selepas dirempuh ketika cuba menghalang suspek kes pecah rumah daripada melarikan diri.Semua suspek yang berusia 24 hingga 26 tahun berjaya ditahan pada hari sama.
