ANGGOTA POLIS MAUT DIREMPUH PENJENAYAH CUBA LARIKAN DIRI

 

ANGGOTA POLIS MAUT DIREMPUH PENJENAYAH CUBA LARIKAN DIRI

ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat Koperal maut selepas dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah ketika cuba melarikan diri selepas melakukan jenayah pecah rumah di Taman Golf, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Kedah, CP Adzli Abu Shah, berkata dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mangsa yang baru keluar dari kereta peronda dirempuh kenderaan utiliti sukan jenis Lexus yang dipandu salah seorang daripada empat suspek. Seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, manakala tiga lagi melarikan diri sebelum diberkas di Kepala Batas.

Siasatan mendapati kumpulan itu turut melarikan sebuah kereta bersama seorang wanita warga emas selepas menghalau suaminya di sebuah hotel, sebelum terbabit kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 457 Kanun Keseksaan. Ketua kumpulan berusia 26 tahun memiliki 77 rekod jenayah, manakala tiga lagi rakan mempunyai pelbagai rekod lampau.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki berusia empat, sembilan dan 11 tahun. Jenazah kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama