40 RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN, MANGSA HARAP BANTUAN PERUMAHAN

40 RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN, MANGSA HARAP BANTUAN PERUMAHAN Sebanyak 40 rumah dilaporkan musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Titingan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan, Tawau, pagi tadi. Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Moilley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi. Susulan itu, tiga jentera bomba telah digerakkan dan tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka serta bantuan lori tangki bomba berikutan keadaan kawasan penempatan yang padat. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.03 tengah hari. “Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita. Sementara itu, salah seorang mangsa kebakaran, Saparida Ambuolo yang berusia lingkungan 60-an berkata, ketika kejadian beliau sedang menunaikan solat sunat dhuha sekitar jam 10 pagi sebelum terdengar jeritan jiran yang memaklumkan berlakunya kebakaran. Menurutnya, insiden tersebut merupakan pengalaman kedua beliau terlibat dalam kebakaran dan mengakui masih belum mengetahui ke mana hendak berpindah selepas kehilangan tempat tinggal.
“Saya harap kerajaan dapat membantu menyediakan rumah kepada mangsa kebakaran seperti melalui Program Perumahan Rakyat,” katanya. Beliau turut meluahkan rasa reda menerima ujian itu menjelang ketibaan Ramadan dan memaklumkan tiada lagi persiapan dapat dilakukan bagi menyambut bulan mulia berkenaan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama