LANGGAR ANGGOTA POLIS HINGGA MAUT, PEMANDU WARGA EMAS DITAHAN
IPOH – Seorang pemandu wanita warga emas ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang anggota polis di Jalan Tiger Lane, berhampiran sebuah kondominium di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 80 tahun itu ditahan di pekarangan pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Menurut beliau, suspek yang memandu sebuah Perodua Myvi dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku dan meninggalkan kenderaan di lokasi kejadian. Ujian saringan awal mendapati wanita warga emas itu negatif dadah.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Koperal Mohd Hafizan Othman, 33, yang menunggang motosikal, dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Balai Polis Kampung Rapat. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu suspek dari arah Jalan Lengkok Harimau cuba membelok ke kanan di kawasan yang tidak dibenarkan, lalu melanggar mangsa yang berada di laluan sah.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Tags
MALAYSIA HARI INI
