DUA LELAKI MAUT TERSEPIT DI BAWAH LORI KETIKA BAIKI SISTEM BREK DI KUARI

Dua lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah lori muatan batu ketika sedang menjalankan kerja pembaikan sistem brek di jalan sebuah kuari di Bukit Mambong, Jalan Mambong, Kuching, petang tadi. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.02 petang. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.28 petang dan mendapati dua mangsa lelaki dewasa berusia 46 dan 26 tahun tersepit di bawah lori berkenaan. Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Operasi menyelamat dijalankan dengan bantuan dua jengkaut milik syarikat kuari bagi mengangkat bahagian sisi lori untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 4.55 petang, manakala mangsa kedua dikeluarkan kira-kira sembilan minit kemudian.
Selepas kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan, mayat mereka diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.10 petang. Turut berada di lokasi kejadian ialah anggota PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu pengurusan kejadian.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama