Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), selaras dengan pendirian rasmi parti.
Beliau berkata, keputusan tersebut bukan dibuat atas kapasiti peribadi, sebaliknya diputuskan secara kolektif melalui Mesyuarat Biro Politik, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung tiga tahun lalu.
Menurut Ahmad Zahid, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuh bukan sahaja daripada ahli parti di peringkat akar umbi, malah daripada Ahli Parlimen UMNO sendiri bagi memastikan kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa UMNO akan membuat keputusan berkaitan strategi pilihan raya menjelang PRU-16, termasuk kemungkinan bertanding secara solo. Namun, katanya, bertanding solo tidak bermaksud menolak kerjasama dengan parti lain berdasarkan garis panduan tertentu.
Ahmad Zahid juga memaklumkan UMNO menyasarkan untuk bertanding di lebih 30 kerusi Parlimen pada PRU-16, termasuk kerusi ‘tier dua’ yang sebelum ini menyaksikan UMNO memperoleh undi kedua tertinggi.
Tambah beliau, analisis terperinci data kerusi akan menjadi asas kepada sebarang keputusan melibatkan pembahagian kerusi dan kerjasama politik pada masa akan datang.
UMNO YAKIN SOKONGAN AKAR UMBI UNTUK KEKAL DALAM KERAJAAN PERPADUAN
byMALAYSIA HARI INI
-
0
